UMNO Online - “Pemilihan PKR Huru Hara Jadi Cermin Konflik Dalaman Parti Yang Kian Parah – Dr. Najmil” plus 9 more

UMNO Online - “Pemilihan PKR Huru Hara Jadi Cermin Konflik Dalaman Parti Yang Kian Parah – Dr. Najmil” plus 9 more

Link to UMNO Online

Pemilihan PKR Huru Hara Jadi Cermin Konflik Dalaman Parti Yang Kian Parah – Dr. Najmil

Posted: 23 Jun 2014 03:23 AM PDT

KUALA LUMPUR, 23 Jun – Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Dr. Najmil Faiz Mohamed Aris menyifatkan kekecohan yang berlaku di dalam pemilihan PKR yang sehingga hari ini masih tidak selesai sebagai satu cerminan betapa huru-haranya pentadbiran parti tersebut di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut beliau, apa yang berlaku dalam pemilihan PKR ini merupakan gambaran kepada suasana dalaman parti tersebut yang bergolak dan penuh konflik ekoran kelemahan kepimpinan peringkat tertinggi PKR.

"Bagi saya, segala kekecohan yang berlaku di dalam pemilihan parti PKR merupakan satu gambaran atau pun cerminan terhadap pergolakan dan konflik dalaman parti tersebut yang kini semakin meruncing.

"Dakwaan daripada ahli-ahli mereka sendiri berhubung unsur-unsur penipuan undi, rasuah dan sebagainya yang berlaku di dalam pemilihan parti tersebut sudah cukup untuk memperlihatkan bahawa PKR bukanlah sebuah parti yang telus dan berwibawa seperti yang seringkali didakwa oleh pemimpin mereka, tetapi ianya jelas berlaku yang mana dapat dirumuskan bahawa PKR sebuah parti yang penuh dengan masalah dan konflik dalaman hingga menyebabkan berlakunya huru hara," tegas beliau kepada UMNO-Online di sini hari ini.

Tambah beliau, pemilihan kepimpinan di dalam PKR ini mungkin dilakukan hanya sekadar untuk mencukupi syarat kepada perjalanan sesebuah organisasi parti politik sedangkan di sebalik itu ada ‘tangan-tangan ghaib di dalam parti’ yang telah mencatur keputusan bakal kepimpinan parti tersebut.

"Kita boleh lihat, sepanjang tempoh pemilihan PKR yang berlansung hari ini, sudah lebih lima daripada anggotanya diketepikan kerana pelbagai kesalahan termasuklah kerana mengkritik parti serta menyalahgunakan kuasa ketika pemilihan.

"Bahkan, mereka yang mengkritik perjalanan pemilihan parti yang dianggap tidak telus dan tidak adil turut dipecat. Ini membuktikan bahawa PKR hakikatnya diperintah secara diktator oleh Anwar Ibrahim yang mahu mengekalkan keluarga dan kroninya untuk terus berkuasa diperingkat tertinggi parti," ujarnya.

Justeru itu, beliau meminta agar rakyat membuka mata dan menilai dengan pemikiran yang rasional dan matang, apakah parti yang tidak mampu untuk menguruskan pemilihan yang sekecil itu dengan baik akan mampu untuk mentadbir dan membawa kemakmuran kepada negara?

"Sekiranya parti yang sekecil itu pun tidak mampu ditadbir urus dengan baik, bagaimana kepimpinan PKR boleh kita amanahkan untuk menjadi kerajaan bagi mentadbi rnegeri atau  negara. Kita boleh lihat bagaimana di Selangor yang diperintah oleh PKR, berdepan akibat terlalu banyak berpolitik, maka rakyat akhirnya jadi mangsa ketika krisis air yang berlaku di negeri itu baru-baru ini.

"Jadi saya harapkan agar rakyat di seluruh negara dapat melihat perkembangan di dalam PKR ini sebagai satu iktibar dan pengajaran agar tidak terus tertipu dengan helah dan tipu daya mereka dengan memburukkan kerajaan.

"Selama ini, kepimpinan PKR, khususnya Anwar yang seringkali mengkritik SPR tidak telus dan sebagainya, sedangkan hakikatnya hari ini kita dapat lihat betapa kecoh dan huru haranya pemilihan parti itu sama seperti huru haranya pentadbiran parti tersebut di bawah kepimpinan Anwar," ujarnya.-MediaUMNO

Kerajaan Masih Belum Kenal Pasti Lokasi Sebenar MH370 – Hishammuddin

Posted: 23 Jun 2014 03:15 AM PDT

KUALA LUMPUR, 23 Jun – Kerajaan masih menjalankan perbincangan dengan pihak berkuasa Australia dan China bagi mengenal pasti lokasi baharu di laut Hindi untuk mencari pesawat MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu.

Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata perbincangan itu juga meliputi fasa baharu dan penggunaan aset bersesuaian bagi operasi mencari pesawat itu.

“Itu amat penting dalam fasa baharu ini, kerana tanpa mengetahui atau memutuskan lokasi kawasan itu, adalah amat sukar untuk it’s very difficult for us to understand what sort equipment there is needed which have specific capabilities for the search mission,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Tahunan Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT) 2014 dan melancarkan buku bertajuk ‘Perancangan Ketenteraan Dalam As-Sunnah’ di sini, hari ini.

Penerbangan MH370, membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal yang dalam perjalanan ke Beijing, China telah hilang daripada imbasan radar pada 8 Mac lepas, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam.

Pada 24 Mac, 17 hari selepas pesawat Boeing 777-200ER itu hilang, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan Penerbangan MH370 “berakhir di selatan Lautan Hindi”.

Hishammuddin juga sekali lagi menggesa agar semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi berhubung laporan yang mendakwa juruterbang Kapten Zaharie Ahmad Shah sebagai suspek utama di sebalik kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370.

“Jangan percayakan spekulasi, pada asasnya ini tidak adil kepada keluarga juruterbang, ini tentang keluarga dan beliau mempunyai anak dan sekiranya anda salah bagaimana anda mahu membaiki kerosakan yang telah ditimbulkan itu,” katanya.

Baru-baru ini, Akhbar Sunday Times, United Kingdom melaporkan polis Malaysia kini menganggap suspek utama di sebalik kehilangan pesawat MH370 adalah juruterbang penerbangan tersebut, Kapten Zaharie Ahmad Shah.

Dua Wakil MCA, Dua Wakil MIC Angkat Sumpah Sebagai Senator

Posted: 23 Jun 2014 03:12 AM PDT

KUALA LUMPUR, 23 Jun – Naib Presiden MCA Datuk Dr Hou Kok Chung adalah antara empat individu yang mengangkat sumpah sebagai Anggota Dewan Negara di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang di bangunan Parlimen, hari ini.

Tiga lagi yang dilantik ialah Ketua Penerangan MCA Kebangsaan Datuk Chai Kim Sen, Ketua MIC Bahagian Klang Datuk S.Vigneswaran dan Pengerusi Badan Perhubungan MIC Pahang Datuk R. Goonasakaren.

Mereka dilantik sebagai senator buat kali pertama untuk penggal tiga tahun.

Hou, 51, yang juga bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, berkelulusan Ijazah Kedoktoran Falsafah dari University Of London.

Menurutnya pelantikan itu membolehkannya menyuarakan pandangan masyarakat Cina di Dewan Negara.

“Saya menghargai pelantikan ini. Sama ada di Dewan Rakyat ataupun Dewan Negara, kedua-dua tempat ini merupakan ruang perbincangan antara pemimpin-pemimpin dalam pelbagai isu untuk kepentingan rakyat pelbagai kaum,” katanya kepada pemberita.

MB Perlis Mahu Anggota Penguatkuasa Di Sempadan Bebas Rasuah

Posted: 23 Jun 2014 02:54 AM PDT

KANGAR, 23 Jun – Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man mahu semua anggota agensi penguatkuasa di sempadan membebaskan diri dari amalan rasuah dan berusaha mempertingkat integriti diri.

Katanya, mereka mempunyai tanggungjawab amat besar bagi memastikan aktiviti penyeludupan seperti minyak diesel, minyak masak, tepung dan pemerdagangan manusia dapat dibanteras.

“Saya bimbang jika integriti mereka dipersoal apabila penyeludupan tidak dapat dikawal, kawasan sempadan mudah dibolosi dan mereka akan dikaitkan dengan rasuah.

“Perkara ini tidak boleh dibiarkan kerana keselamatan negara akan terancam selain memberi imej kurang baik pada dunia luar,” kata Azlan.

Beliau berucap merasmikan seminar “Bual-Bicara: Mengitari Orbit Pembanterasan Rasuah di Malaysia” dan majlis menandatangani Ikrar Integriti: “Sempadan Bebas Rasuah” anjuran Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perlis dan Bahagian Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) SPRM di sini hari ini.

Menurut Azlan peranan memerangi rasuah menjadi tanggungjawab semua jabatan dan agensi kerajaan dan tidak terletak pada SPRM sahaja.

Katanya kerajaan negeri memberi perhatian serius terhadap amalan rasuah kerana Perlis sebagai negeri yang bersempadan dengan negara jiran mempunyai agensi-agensi yang bertanggungjawab mengawal sempadan.

Seminar itu dihadiri lebih 300 peserta dari agensi dan jabtan kerajaan, swasta dan badan-badan bukan kerajaan (NGO).

Bercakap kepada pemberita selepas perasmian itu, Pengarah Bahagian NKRA SPRM, Datuk Hisham Nordin mencadangkan setiap anggota penguatkuasa dipindahkan ke tempat lain selepas berkhidmat dua atau tiga tahun bagi mengatasi amalan rasuah.

Katanya percubaan menukar secara berkumpulan kakitangan sebuah agensi penguatkuasa di satu kawasan sempadan menampakkan kejayaan positif apabila kutipan hasil di tempat terbabit meningkat berbanding sebelumnya.

Pengarah SPRM Negeri Perlis, Yaacop Angah pula berkata pihaknya member tumpuan terhadap amalan rasuah khusus yang membabitkan kakitangan agensi-agensi penguatkuasa di kawasan sempadan di negeri ini.

Katanya dari Januari hingga Mei tahun ini SPRM Perlis menerima 43 maklumat bersabit rasuah namun tujuh kes sahaja dibuka kertas siasatan.

Yang lain kekurangan bukti kukuh, kata beliau.

Wanita UMNO Tubuh ‘Tabung Adik Firdaus’

Posted: 23 Jun 2014 02:50 AM PDT

SEREMBAN, 23 Jun – Wanita Umno Malaysia hari ini menubuhkan ‘Tabung Adik Firdaus’ untuk membantu remaja orang kurang upaya (OKU), Muhammad Firdaus Dullah, 15.

Ketuanya Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata tabung itu merupakan langkah proaktif Wanita Umno bagi membantu remaja OKU itu yang dijumpai dalam keadaan tidak terurus dan terabai di Flat Taman Semarak, Nilai kelmarin.

“Bagi pihak Wanita Umno, kita menyumbangkan RM2,000 untuk memulakan tabung itu. Selain itu, isteri Menteri Besar Negeri Sembilan, Datin Seri Raja Salbiah Tengku Nujumudin selaku Yang Dipertua Persatuan Kebajikan Isteri-Isteri Wakil Rakyat Dan Pegawai-Pegawai Kanan Negeri Sembilan (Pekerti) turut menyumbangkan jumlah yang sama,” katanya kepada pemberita selepas melawat remaja OKU itu di Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) di sini, hari ini.

Selain Raja Salbiah, turut hadir ialah Ketua Wanita Umno Negeri Sembilan Datuk Norhayati Omar.

Katanya tabung itu akan diurus bersama oleh HTJS, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri dan Wanita Umno Negeri Sembilan dan sumbangan boleh disalurkan kepada ketiga-tiga badan ini.

“Bagi memudahkan orang ramai menyalurkan bantuan dan sumbangan, pihak hospital juga bersetuju meletakkan tabung khas ini di hospital ini selain di pejabat JKM negeri dan pejabat Umno negeri,” kata Shahrizat.

Beliau meminta orang ramai jika mengetahui perkara seperti itu berlaku di tempat mereka supaya melaporkan terus kepada Wanita Umno atau JKM berhampiran agar tindakan segera boleh dibuat.

“Perkara seperti yang menimpa adik Firdaus ini tidak sepatutnya berlaku…kes adik Firdaus ini adalah satu ‘wake-up call’ kepada semua masyarakat. Saya tidak boleh terima perkara ini berlaku di depan mata masyarakat tetapi tiada siapa yang melaporkan, mana dia nilai kemanusian kita? Saya cukup sedih perkara seperti ini boleh berlaku,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Hospital Tuanku Jaafar Seremban, Datuk Dr Jaafar Che Mat berkata pemeriksaan mendapati adik Firdaus mungkin tidak makan beberapa bulan atau diberikan makanan tidak sepatutnya.

Katanya pemeriksaan kesihatan ke atas remaja OKU malang itu tidak menemui sebarang kecederaan dan unsur didera tetapi hanya dibiarkan kebuluran.

Dr Jaafar berkata pihaknya sudah memaklumkan kepada polis dan terpulang kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan lanjut.

“Ketika remaja ini dibawa ke HTJS, beratnya hanya 15 kilogram dan kami sudah memberikan makanan berkhasiat kepadanya untuk menambah berat badan. Keadaannya kini stabil dan memerlukan sekurang-kurangnya sebulan untuk menaikkan berat badan dan penjagaan kesihatan lain,” katanya.

Malaysia-Tajikistan Mahu Perkukuh Hubungan Dua Hala

Posted: 23 Jun 2014 02:46 AM PDT

PUTRAJAYA, 23 Jun – Malaysia dan Tajikistan bersetuju menjalinkan kerjasama rapat dalam pelbagai bidang utama bagi membawa hubungan dua hala sedia ada ke tahap baharu yang lebih berkualiti.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kedua-dua negara mengakui pentingnya meningkatkan kerjasama dua hala terutamanya dalam bidang pendidikan, pelancongan, sukan, ekonomi serta sains dan teknologi.

Bercakap pada sidang berita bersama dengan Presiden Tajikistan Emomali Sharipovich Rahmon sempena lawatan negara empat hari beliau ke Malaysia, Najib yakin lawatan itu menandakan satu bab baharu dalam hubungan dua hala yang kukuh antara kedua-dua negara.

“Kami mengadakan perbincangan yang berhasil dan mendalam merangkumi pelbagai isu dua hala, serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama.

“Kami menekankan pentingnya untuk membawa perdagangan dua hala ke tahap yang lebih tinggi,” kata beliau.

Terdahulu, Najib dan Rahmon menyaksikan pemeteraian lima Memorandum Persefahaman (MoU) dan satu perjanjian untuk memperkukuh kerjasama Malaysia dan Tajikistan.

MoU berkenaan ialah berkaitan rundingan dua hala, kerjasama dalam bidang pendidikan tinggi, pelancongan, latihan fizikal dan sukan serta MoU dengan Majlis Olimpik Malaysia dan Perjanjian mengenai Kerjasama Ekonomi, Teknikal dan Saintifik.

Najib berkata Malaysia juga mengalu-alukan lebih ramai pelajar Tajikistan melanjutkan pengajian mereka di negara ini terutamanya dalam bidang komunikasi.

Pada masa ini, lebih 200 pelajar Tajikistan menuntut di Malaysia.

Beliau berkata kedua-dua negara juga mahu meningkatkan ruang hubungan antara rakyat dan rakyat dan MoU yang dimeterai dapat memudahkan rakyat Tajikistan mengunjungi negara ini.

“Kita juga akan terus menyokong Tajikistan dalam program latihan dan teknikal,” kata Najib.

Sebagai negara Islam, Perdana Menteri berkata Malaysia dan Tajikistan akan menjalinkan kerjasama rapat berhubung isu-isu umat Islam dan berkongsi keputusan bersama.

“Kami bimbang dengan cabaran-cabaran dalam dunia Islam dan kami akan bekerjasama rapat untuk perpaduan,” kata beliau.

Perdana Menteri turut mengucapkan terima kasih kepada Tajikistan di atas sokongannya terhadap pencalonan Malaysia bagi kerusi bukan tetap dalam Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu untuk penggal 2015 hingga 2016.

Najib berkata Rahmon juga menyampaikan jemputan kepada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah untuk melakukan lawatan balas ke Tajikistan tahun depan.

Ini merupakan lawatan negara pertama Rahmon ke Malaysia sejak Tajikistan dan Malaysia menjalinkan hubungan diplomatik pada 1992.

Turut mengiringi Rahmon ialah Menteri Luar Aslov Sirodjidin, Menteri Pembangunan Ekonomi dan Perdagangan Rahimzoda Sharif, Menteri Pendidikan dan Sains Said Nuriddin, para pegawai kanan dan ahli perniagaan.

Presiden Tajikistan Diberi Sambutan Rasmi Di Dataran Parlimen

Posted: 22 Jun 2014 11:37 PM PDT

KUALA LUMPUR, 23 Jun – Presiden Republik Tajikistan Emomali Sharipovich Rahmon, yang tiba semalam untuk lawatan negara empat hari ke Malaysia, diberi sambutan rasmi hari ini.

Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah berkenan berangkat ke majlis itu yang berlangsung di Dataran Parlimen di sini.

Ia turut disertai Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor.

Upacara dimulakan dengan lagu kebangsaan kedua-dua negara disertai tembakan meriam 21 das.

Presiden Tajikistan itu, yang diiringi dalam lawatan ke Malaysia oleh isterinya Azizamoh Rahmon, seterusnya memeriksa perbarisan kehormat terdiri daripada empat pegawai dan 102 anggota Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja.

Ini merupakan lawatan pertama Rahmon ke negara ini sejak terjalinnya hubungan diplomatik antara Tajikistan dan Malaysia pada 1992. Kunjungan itu atas jemputan Tuanku Abdul Halim.

Selesai majlis sambutan rasmi berkenaan, Rahmon ke Putrajaya untuk mengadakan pertemuan dengan Najib diikuti mesyuarat delegasi antara kedua-dua negara.

Pampasan Akhir Hanya Selepas Isu MH370 Selesai

Posted: 22 Jun 2014 11:35 PM PDT

KUALA LUMPUR, 23 Jun – Kerajaan komited untuk menyelesaikan isu pampasan bagi keluarga anak kapal dan penumpang Malaysia Airlines (MAS) MH370, namun keutamaan diberikan kepada usaha mencari pesawat yang masih hilang itu, kata Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Aziz Kaprawi.

Beliau berkata pampasan akhir akan diberikan selepas isu berkaitan pesawat selesai.

“MAS dan kerajaan telah membuat ketetapan untuk memberi US$50,000 sebagai bantuan permulaan. Sehingga ada keputusan muktamad dan pesawat ditemui, barulah ada perkiraan akhir,” katanya.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Dr Johari Mat yang ingin tahu status terkini pembelaan terhadap waris mereka yang berada dalam pesawat Aziz menjelaskan adalah menjadi tanggungjawab dan komitmen kerajaan dalam menyelesaikan isu pampasan dan sebarang perkembangan terkini akan dimaklumkan dengan segera.

Tujuh waris penumpang pesawat dilaporkan telah menerima bayaran pendahuluan pampasan US$50,000 seorang melalui insurans syarikat penerbangan.

Pada 8 Mac lalu, pesawat Boeing 777-200ER yang membawa 239 penumpang dan anak kapal hilang daripada imbasan radar kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada 12.41 tengah malam menuju Beijing.

Usaha mencari pesawat dilakukan di selatan Lautan Hindi.

Allah : Federal Court Denies Catholic Church Leave To Appeal

Posted: 22 Jun 2014 10:43 PM PDT

PUTRAJAYA, June 23 – The Federal Court here today denied the Catholic Church leave to appeal to the Federal Court to lift the government’s ban on the use of the word ‘Allah’ to refer to God in its weekly Herald’s Bahasa Malaysia section.

The seven-member panel led by Chief Justice Tun Arifin Zakaria delivered a majority 4-3 decision against the church.

Justice Arifin, in his ruling, said that the Court of Appeal had applied the correct test, which was the objective test, and hence it (Court of Appeal) was also correct to overturn the High Court’s decision.

There are four judgments, with one of them, which was delivered by Justice Arifin and concurred by Court of Appeal President Tan Sri Md Raus Sharif, Chief Judge of Malaya Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin and Federal Court judge Tan Sri Suriyadi Halim Omar, against the church.

Chief Judge of Sabah and Sarawak Tan Sri Richard Malanjum and Federal Court judges Datuk Zainun Ali and Tan Sri Jeffrey Tan Kok Wha gave a dissenting judgment in favour of the church.

Following this decision, the Oct 14, 2013 Court of Appeal decision prohibiting the Herald from using the word stands as correct in fact and law because the church cannot file any appeals anymore.

On Dec 31, 2009, the High Court declared that the decision by the Home Ministry in banning the Herald from using the word Allah was illegal, null and void.

The Court of Appeal had set aside the High Court’s decision.

The Roman Catholic church, led by Kuala Lumpur Archdiocese Archbishop Emeritus Murphy Pakiam, filed a judicial review application in 2009 naming the Home Ministry and the government as respondents.

It sought, among others, a declaration that the ministry’s decision to prohibit the use of the word Allah in the Herald publication was illegal.

Peranan Pegawai Daerah Perlu ‘Ditokok Tambah’ Untuk Lebih Berkesan – Najib

Posted: 22 Jun 2014 10:39 PM PDT

PUTRAJAYA, 23 Jun – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata pegawai daerah perlu ‘menokok tambah’ peranan masing-masing di samping tugas tradisional sebagai pentadbir untuk memberikan khidmat yang lebih relevan dan berkesan dalam konteks semasa.

Perdana menteri berkata pegawai daerah perlu mampu melakukan tambah nilai itu menerusi penglibatan diri dengan rakyat dan semua pihak untuk merasai denyut nadi mereka.

Beliau berkata pegawai daerah tidak boleh menggangap dirinya ‘besar’ sebaliknya perlu meletakkan diri sebagai pemimpin, pemudah cara, rakan kongsi, pemimpin setempat dan sentiasa bersama rakyat setiap masa.

“Sebagai pegawai pentadbir, kita perlu menghayati apa sebenar kehendak dan isi hati rakyat. Jangan kita lihat berdasarkan kehendak yang datang dari Kuala Lumpur atau pun ibu negeri sahaja,” katanya pada Persidangan Pegawai-pegawai Daerah 2014 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Persidangan bertemakan ‘Pegawai Daerah Pemacu Transformasi Luar Bandar’ itu menghimpunkan semua pentadbir di peringkat negeri dan daerah.

Najib turut menyarankan para pegawai daerah agar tidak terlalu ego sebaliknya kena turun padang dan memahami masalah rakyat.

“Jangan terlalu menjaga kedudukan, bagaikan ular menyusur akar tidak akan hilang bisanya,” katanya.

Perdana menteri berkata peranan pegawai daerah, termasuk residen, akan melalui proses evolusi berikutan tugas yang lebih mencabar dan peranan yang luas skopnya.

“Sebagai pentadbir, kita bukan lagi duduk di dalam pejabat dan belakang meja menguruskan pentadbiran, menerima arahan dari peringkat negeri dan pusat serta melaksanakan arahan-arahan tersebut. Kalau kita kekal sebagai hanya pentadbir biasa, kita tak mungkin menjadi seorang pegawai daerah yang berkesan dalam menghadapi cabaran kini,” tegas beliau.

Najib berkata jika pegawai daerah mampu menyerlahkan kepimpinan berkesan, mereka akan berupaya menjadi pemimpin yang dekat di hati rakyat dan disayangi rakyat.

“Kita kena dekat dengan rakyat untuk memahami cita rasa rakyat, apa dalam minda rakyat, apa yang menjadi hambatan rakyat,” katanya, sambil menambah pandangan di lapangan boleh disalurkan kepada setiausaha kerajaan negeri, menteri besar dan jabatan-jabatan kerajaan.

Najib turut menasihatkan pegawai daerah untuk bangkit melebihi parti politik dalam membela dan mendahulukan kepentingan rakyat.

Beliau mahukan pegawai daerah memahami isu semasa termasuk pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan dasar kerajaan untuk diterjemah dalam perancangan pembangunan daerah.

Perdana menteri berkata penjelasan sebenar penting untuk memastikan rakyat memahami bahawa GST bertujuan untuk menambah hasil negara bagi manfaat rakyat dalam perancangan pembangunan, khususnya di luar bandar.

“Apabila hasil negara bertambah, pembanguan luar bandar dapat diperhebat seperti pembinaan jalan kampung, bekalan air, membaik pulih rumah panjang agar dapat mengimbangi kemajuan bandar dan luar bandar,” katanya.

Sementara itu, Najib berkata pegawai daerah perlu menggunakan kebijaksanaan untuk mengendalikan isu-isu sensitif rakyat seperti soal tanah adat dan permohonan tanah berkelompok kerana ia bukan soal yang boleh dipandang ringan.

Beliau berkta pegawai daerah perlu memberi nasihat kepada rakyat berkaitan hal-hal pemberian tanah.
Sementara itu, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata apa yang dinyatakan perdana menteri itu perlu diberi perhatian oleh semua pegawai daerah.

Ia bagi memastikan peranan lebih efektif mereka dalam menjadikan rakyat keutamaan, katanya.

Justeru itu beliau berkata persidangan pegawai daerah kali ini dapat dijadikan landasan terbaik untuk berbincang dalam usaha memperkasa peranan mereka,

Persidangan sehari anjuran Institut Kemajuan Desa (INFRA), KKLW itu bertujuan memberi maklumat mengenai pelaksanaan program pembangunan untuk masyarakat luar bandar bagi tahun ini.

Ia merupakan medium utama untuk membincangkan isu semasa dan pemasalahan pelaksanaan program pembangunan luar bandar di samping dapat meningkatkan jalinan kerjasama antara KKLW, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Pejabat Daerah dan Residen seluruh negara.

-------------------------------------------------------------------------------

Jom berjuang bersama rakan bloggers di Facebook!

Tunjukkan sokongan anda! Sila Like.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...