UMNO Online - “MH370: Lokasi Pencarian Baharu Diumum Satu Atau Dua Minggu Lagi – Hishammuddin” plus 5 more

UMNO Online - “MH370: Lokasi Pencarian Baharu Diumum Satu Atau Dua Minggu Lagi – Hishammuddin” plus 5 more

Link to UMNO Online

MH370: Lokasi Pencarian Baharu Diumum Satu Atau Dua Minggu Lagi – Hishammuddin

Posted: 20 Jun 2014 05:06 AM PDT

SEPANG, 20 Jun – Fasa baharu lokasi pencarian pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH370 akan diumum dalam tempoh satu atau dua minggu lagi,kata pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Bagaimanapun, katanya lokasi pencarian baharu itu masih kekal di koridor selatan.

“Carian kita tidak pernah berhenti tetapi sebelum diumum fasa baharu kawasan pencarian yang akan kita beri tumpuan bersama-sama China dan Australia, kita juga akan kenal pasti aset-aset kita,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan berkata selepas itu, semua aset-aset tambahan akan dihantar untuk membantu usaha pencarian di lokasi baharu.

Terdahulu, beliau menghadiri taklimat mengenai persiapan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) sempena perasmian lapangan terbang itu yang dijangka disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Selasa depan.

Hishammuddin menjelaskan aset-aset tambahan dari China, Belanda serta syarikat swasta Petronas dan SapuraKencana sudah sedia untuk dihantar.

Antaranya ialah Kapal Zhu Kenzhen 872 dari China, Fugeo Equator (dari Belanda) dan Deftech Phoenix International (Petronas) dan Multi-beam Echo Sounder dan Sun Bottom prOflier (SapuraKencana).

Selain itu, Hishammuddin berkata jawatankuasa aset yang diketuai oleh Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Abdul Rahim Bakri akan bekerjasama dengan China dan Australia untuk mengenal pasti aset-aset itu benar-benar memenuhi keperluan.

Dalam fasa baharu pencarian itu, Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Aziz Kaprawi pula akan melihat dari segi panel pakar teknikal termasuk kerjasama dengan Boeing, Immarsat, Rolls Royce, Lembaga Keselamatan Pengangkutan Nasional Amerika Syarikat dan Jabatan Siasatan Kemalangan Udara China, katanya.

Pada 8 Mac, pesawat Boeing 777-200ER itu yang dalam penerbangan ke Beijing bersama-sama 239 penumpang dan anak kapal, hilang daripada imbasan radar kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada 12.41 tengah malam.

Gerakan mencari melibatkan pelbagai negara dilancarkan untuk mengesan pesawat itu, mula-mula di Laut China Selatan dan kemudian di selatan Lautan Hindi apabila ia dikatakan melencong daripada laluan asalnya.

Tujuh belas hari kemudian, Penerbangan MH370 itu dipercayai berakhir di selatan Lautan Hindi.-MediaUMNO

Negara Berkebajikan Rakyat Kini Menjadi Negara Menekan Rakyat

Posted: 20 Jun 2014 02:16 AM PDT

KUALA LUMPUR, 20 Jun – Slogan pakatan pembangkang kononnya mahu melaksanakan pentadbiran berteraskan Negara Berkebajikan nampaknya ternyata menjadi satu lagi projek pembohongan mereka terhadap rakyat.

Setelah berjaya menguasai beberapa buah negeri, bukan sahaja pembangkang gagal menjadikan negeri yang diperintah mereka sebagai kerajaan berkebajikan malah bertukar menjadi kerajaan yang menekan rakyat menerusi pelbagai tindakan yang berlawanan dengan janji-janji mereka sebelum pilihanraya

Menurut Ketua Pemuda UMNO Putrajaya, Ahmad Faisal Abdul Karim, jika dilihat janji pembangkang pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2008 kepada rakyat, sehingga kini gagal ditunaikan.

"Dulu mereka janji nak kurangkan cukai pintu 20 peratus, cukai premis perniagaan dikurangkan 10 peratus, mahu memberikan kesihatan percuma kepada warga emas di Selangor, mahu memberikan RM50 sebulan kepada kanak-kanak pra sekolah, RM600 sebulan elaun kepada ibu tunggal dan banyak lagi.. adakah semua ini sudah ditunaikan?

"Tidak… mereka gagal. Kalau ini mereka gagal maka apa yang dikatakan negara berkebajikan… Mereka bukan sahaja gagal menunaikan janji tersebut malah mereka menambah beban rakyat dengan menaikkan surcaj air sebanyak 100 peratus di Pulau Pinang.

"Selangor pula menaikkan cukai pintu 120 peratus malah ada antara rumah PPR sewanya dinaikkan 100 peratus. Inikah yang dinamakan negara berkebajikan? Secara keseluruhannya, pembangkang gagal sama sekali," ujarnya kepada UMNO-Online.

Tambah beliau lagi pembangkang juga cuba 'membeli' penjawat awam apabila berjanji mahu mewujudkan caruman nasional RM500 sebulan sehingga pencen namun ini juga merupakan janji kosong mereka.

“Sekiranya mereka gagal memberi bantuan RM 50 kepada murid sekolah maka bagaimana mereka mahu memberikan RM500 kepada 1.4 juta penjawat awam di negara ini.

"Inilah yang perlu rakyat fikir dan pandang. Apabila mereka menjadi pemerintah barulah mereka tahu bahawa janji bulan dan bintang mereka itu sukar untuk ditunaikan. Janji kerajaan berkebajikan yang dilaung-laungkan selama ini hanya tinggal memori kosong”, katanya.

Malah jelas beliau lagi jika diamati pula manifesto mereka pada pilihan raya umum yang menjanjikan masa depan cerah, penuh dengan harapan manis, ianya juga gagal ditunaikan.

“Mandat yang telah diberi rakyat 'dibayar' dengan menaikkan pelbagai cukai dan menambah beban rakyat. Tempat pembelajaran anak muda seperti GiatMara juga dihapuskan. Maka, kesimpulan yang boleh dibuat adalah pembangkang gagal sepenuhnya melaksanakan negara berkebajikan di negeri pimpinan mereka.

"Ianya jauh berbeza dengan Barisan Nasional. Walau dikecam teruk kononnya menyusahkan rakyat namun kita telah laksanakan BR1M, KR1M dan sebagainya.. Semuanya untuk membantu rakyat. Jadi, senaraikanlah apa yang telah pembangkang lakukan demi membantu rakyat…" ujarnya lagi. -MediaUMNO

Laporan Muhyiddin Berundur Hanyalah ‘Rekaan Politik’ – Najib

Posted: 20 Jun 2014 01:27 AM PDT

KUALA LUMPUR, 20 Jun – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata laporan media sosial bahawa timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin akan berundur daripada kabinet hanyalah ‘rekaan politik’ pihak tertentu.

Najib berkata ini kerana beliau mempunyai hubungan dan persefahaman yang amat baik dengan timbalannya itu.

“Sebagai Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sentiasa mendukung dan telah menjayakan segala dasar dan agenda pembangunan nasional terutama yang berkait dengan rancangan transformasi negara yang dibawa saya,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Najib berkata sebagai Timbalan Presiden Umno dan Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) pula, Muhyiddin sentiasa bersama-sama dalam segala usaha memperkukuh dan memantapkan perjuangan Umno dan BN dan ini merupakan satu usaha berterusan dan masih banyak perlu dilakukan antara beliau dan Muhyiddin.

“Dengan adanya hubungan dan persefahaman yang amat baik di antara saya dengan Muhyiddin, saya yakin kita dapat menghadapi segala cabaran untuk membangunkan negara seterusnya meningkatkan lagi kepercayaan rakyat terhadap kepimpinan BN,” katanya.

Laman blog dan media sosial melaporkan kemungkinan Muhyiddin berundur bagi memberi perhatian kepada usaha memulihkan Umno.

Ia juga timbul berikutan desas-desus rombakan Kabinet yang mungkin dilakukan Perdana Menteri khususnya untuk membawa masuk pemimpin daripada parti komponen BN iaitu MCA dan Gerakan.

Bagaimanapun semalam, Muhyiddin berkata beliau akan terus berkhidmat sebagai timbalan perdana menteri selagi khidmatnya diperlukan dan memberitahu setakat ini tidak ada apa-apa perkara dibangkitkan berhubung kedudukannya itu.-MediaUMNO

Sampaikan Perkara Yang Benar Walaupun Pahit, Titah Sultan Nazrin Shah

Posted: 20 Jun 2014 12:46 AM PDT

rajanazrinshah290514

KUALA KANGSAR, 20 Jun – Sultan Perak Sultan Nazrin Shah meminta anggota Dewan Negara Perak memberi sebaik-baik nasihat dan panduan serta sentiasa menyampaikan kepada baginda perkara yang benar walaupun ia pahit untuk dinyatakan.

Baginda bertitah setiap kebenaran wajib dipersembahkan kepada baginda tanpa sebarang rahsia.

“Jauhkan beta daripada cerita-cerita penglipur lara hingga mendorong beta untuk berkhayalan, lena dengan mimpi indah, sedangkan realiti yang berlaku dalam kalangan rakyat dan di dalam negeri sangat berlainan dengan apa yang diceritakan.

“Semoga anggota Dewan Negara akan membantu beta dengan segala keikhlasan dan kejujuran agar beta dapat menyempurnakan amanah dan tanggungjawab dengan adil lagi saksama,” titah baginda pada Mesyuarat Dewan Negara Perak ke-159 di Istana Iskandariah di sini, hari ini.

Ia adalah Mesyuarat Dewan Negara yang pertama dipengerusikan baginda selepas bergelar Sultan.

Sultan Nazrin bertitah sumpah jawatan yang baginda zahirkan ketika dilantik sebagai Sultan adalah ikrar perjanjian baginda dengan Allah dan ia adalah amanah dan tanggungjawab yang berat.

Baginda bertitah ketika mesyuarat Dewan Negara Perak ke-150 pada 6 Mac 2012, mesyuarat terakhir yang dipengerusikan ayahanda baginda Sultan Azlan Shah, almarhum bertitah institusi raja akan kekal relevan jika terus mendapat penghormatan rakyat.

Sultan Nazrin bertitah almarhum telah meninggalkan legasi pemerintahan yang wajib dijadikan rujukan.

Baginda bertitah kata-kata peringatan yang dizahirkan ayahanda baginda semasa dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah oleh Universiti Sains Malaysia pada 28 Jun 1980 akan dijadikan pedoman.

Almarhum yang ketika itu masih seorang hakim yang dikenali sebagai Tan Sri Azlan Shah dalam ucapannya berkata: “…sejarah telah menunjukkan bahawa takhta yang dialihkan dari istana ke muzium sejarah adalah hasil daripada salah nasihat yang diberi oleh penasihat istana yang tidak bertanggung jawab kepada rakyat.

“Sebenarnya, penasihat istana ini adalah terdiri daripada mereka yang mencari keuntungan jangka pendek bagi kepentingan diri mereka sendiri tanpa memikirkan kepentingan rakyat dan negara.

“Apabila keadaan ini berlaku, maka lambat laun rakyat akan memberontak dan takhta akan tergugat. Walau seberapa banyak sekalipun askar, polis rahsia atau pegawai istana digaji untuk melindungi dan menjaga takhta, namun tidak satu pun akan dapat mengatasi kehendak dan aspirasi rakyat jelata.

“Jika kehendak rakyat jelata itu dimakbulkan Allah, maka berpindahlah takhta dari istana ke muzium seni dan budaya”.

Sultan Nazrin bertitah, almarhum telah memenuhi peranan seorang Raja Pemerintah yang berpegang teguh kepada konsep Raja Berperlembagaan.

“Almarhum telah melakarkan imej Raja Pemerintah yang  disegani dan menyuntik kedaulatan takhta yang dihormati,” titah baginda.

Baginda bertitah daulat seseorang Raja Pemerintah itu akan ditentukan oleh kebijaksanaan dan kearifan serta keadilan dan kesaksamaan pemerintahan baginda.

“Pemerintah yang bijak dan arif, adil dan saksama, akan dilimpahkan rahmat Ilahi, negerinya makmur dengan pelbagai rezeki, dan Raja berupaya memberi payung naungan membolehkan rakyat hidup dalam rukun, damai, harmoni lagi sejahtera,” titah baginda. -MediaUMNO

Prasangka Buruk Terhadap PERMATA Tidak Melambangkan Gaya Pimpinan Islam

Posted: 19 Jun 2014 09:40 PM PDT

KUALA LUMPUR 20 Jun – Ahli Parlimen Lenggong Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata apa yang dinyatakan oleh Ahli Parlimen Rantau Panjang,  Siti Zailah Mohd Yusoff  ternyata berprasangka buruk dan hanya ingin memburukkan PERMATA Negara khususnya nama baik isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Menurut beliau lebih teruk sikap dan gaya serta ucapan Ahli Parlimen berkenaan yang langsung tidak melambangkan beliau sebagai pemimpin sebuah parti yang kononnya memperjuangkan Islam.

"Ini kerana ucapan beliau yang beremosi serta benar benar bertujuan menjatuhkan maruah orang lain. Ia sama sekali lari daripada sifat dan ciri ciri pemimpin Islam sebenar. Justeru tuduhan yang dilemparkan oleh beliau nyata tidak berasas.

"Seperkara yang boleh dinilai bahawa beliau tiada maklumat lengkap mengenai PERMATA dan kalaupun beliau tahu mengenainya ia sengaja menimbukan perkara yang tidak benar mengenai PERMATA”, katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Hakikatnya jelas beliau pembangkang bimbang usaha Permata mendapat sambutan dan sanjungan pelbagai pihak malah ia juga telah dikenali di banyak negara.

“Ini sebenarnya mengusarkan mereka kerana terdapat banyak permintaan untuk menyertai pelbagai program PERMATA.

"Dan dengan sendirinya rakyat kini membuat perbandingan usaha yg dilakukan kerajaan melalui PERMATA dengan apa yang mereka lakukan. Ia dengan nyata menunjukan PERMATA jauh lebih baik daripada apa yang dilakukan terutama Kelas TASKI Pas," ujarnya.

Tambah beliau lagi mereka juga sebenarnya begitu bimbang kerana mereka tidak mampu mengadakan atau mengemukakan idea sebaik PERMATA.

Soalnya kenapa perlu bimbang malah sebenarnya tiada satu pun usaha atau agenda PERMATA yang di lihat bertujuan menaikan nama isteri Perdana Menteri.

"Namun kalau kerana PERMATA ramai yang memuji dan mengenali isteri PM, apa salahnya ? Terbukti PERMATA melalui perbagai aktiviti seperti PERMATA  pintar, PERMATA seni dan sebagainya ia amat baik sekali dalam usaha membantu untuk membina dan membentuk anak anak kita lebih cemerlang demi negara kita Malaysia," katanya.

Beliau seterusnya meminta agar tidak perlulah dipertikai dan memperlekeh serta menfitnah PERMATA, sebaliknya ciptalah program yang lebih baik dari PERMATA kalau mereka mampu.

"Mintalah isteri Ketua Menteri Pulau Pinang, Isteri MB Selangor atau Kelantan buat apa-apa program di negeri masing masing…UMNO pun tak halang kalau nak buat. Justeru saya ingin nasihatkan agar Ahli Parlimen Rantau Panjang supaya menjaga mulut ketika berkata dan berhujah.

"Janganlah bersikap demikian kerana iannya tidak sesuai dengan sifat seorg wanita apatah lagi pemimpin wanita Pas. Kita mesti bercakap benar dan jangan kerana berbeza ideologi semua yg dibuat oleh pihak lawan dipandang penuh prasangka," ujarnya. -MediaUMNO

116 Peserta Dari Pelbagai Pertubuhan Media Sertai ‘UMNO Explore 2014′

Posted: 19 Jun 2014 07:29 PM PDT

KUALA LUMPUR, 20 Jun – Seramai 116 peserta daripada pelbagai pertubuhan media hari ini menyertai program  ‘ Umno Explore 2014′ yang diadakan kali ketiga sebagai tanda menghargai peranan kakitangan media dalam membuat liputan perhimpunan agung UMNO 2013 yang lalu.

Para peserta yang menaiki 29 buah kenderaan itu dilepaskan oleh Setiausaha Kerja UMNO Malaysia, Datuk Ab Rauf Yusoh di Dataran Putra Pusat Dagangan Dunia Putra pagi ini sebelum menghadapi cabaran berbentuk ‘explorace’ ke Johor Bahru selama tiga hari.

Turut serta dalam program UMNO Explore 2014 ini ialah Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), RTM, TV3, Utusan Melayu dan lain-lain agensi media.

Menurut Rauf, peserta pada program kali ini perlu menghabiskan 17 checkpoint termasuk di di sepanjang lebuhraya Utara-Selatan dalam perjalanan menuju ke Johor Bahru. Selain itu, peserta juga dikehendaki menjawab beberapa soalan berkaitan prinsip perjuangan Umno, dasar-dasar kerajaan serta pengetahuan am.

“Program seperti  ini merupakan usaha antara inisiatif UMNO untuk merapatkan lagi hubungan dengan media tempatan dan juga sebagai penghargaan kami kepada pihak media yang bertugas ketika membuat liputan perhimpunan Agung UMNO 2103 yang lalu,” katanya kepada pemberita sebelum melepaskan peserta.

Peserta yang memenangi hadiah pertama bagi kategori kumpulan terbaik  akan menerima hadiah berjumlah RM8,000 manakala pemenang tempat kedua pula akan menerima hadiah wang tunai sebanyak RM6,000 dan pemenang ketiga pula akan menerima hadiah wang tunai sebanyak RM 4,000.-MediaUMNO

-------------------------------------------------------------------------------

Jom berjuang bersama rakan bloggers di Facebook!

Tunjukkan sokongan anda! Sila Like.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...