UMNO Online - “Himpunan IKTIRAF Kali Keempat Di Putrajaya Mulai 7 Nov” plus 9 more

UMNO Online - “Himpunan IKTIRAF Kali Keempat Di Putrajaya Mulai 7 Nov” plus 9 more

Link to UMNO Online

Himpunan IKTIRAF Kali Keempat Di Putrajaya Mulai 7 Nov

Posted: 10 Jun 2014 05:03 AM PDT

KUALA LUMPUR, 10 Jun – Himpunan Ikatan Hati Warga Felda Kebangsaan (IKTIRAF) 2014 kali keempat akan berlangsung di Putrajaya selama tiga hari iaitu dari 7 hingga 9 Nov ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Razali Ibrahim berkata Himpunan IKTIRAF yang bertema ‘Meneroka Potensi Mendaya Pembangunan Bangsa’ adalah landasan kepada program agenda pembangunan insan selain mengiktiraf segala usaha warganya dalam membangunkan Felda dan negara.

Beliau berkata himpunan itu dijangka dihadiri kira-kira 15,000 orang termasuk kepimpinan Felda dari seluruh negara, sukarelawan dan usahawan Felda.

“Acara kemuncak Himpunan IKTIRAF, iaitu Anugerah Belia Felda Malaysia (ABFM) kali ketujuh, merupakan satu pengiktirafan khas Seranta (Felda), Jabatan Perdana Menteri bersama-sama Felda dan Majlis Belia Felda Malaysia kepada individu serta organisasi yang terlibat dalam pembentukan serta pembangunan generasi baharu Felda.

“Kecemerlangan dan keterbukaan yang ditunjukkan warga Felda dalam bidang sukan, sosial, pendidikan dan ekonomi kini diharap dapat menjadi contoh kepada komuniti luar,” katanya selepas merasmikan prapelancaran Himpunan IKTIRAF dan ABFM di sini hari ini.

Beliau juga berkata pencapaian Felda kini sekali gus menepati Aspirasi Felda yang digaris Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang mahu komuniti itu  menjadi ikutan masyarakat di dalam dan luar negara.

Razali berkata ABFM 2014 menawarkan 20 anugerah bagi kategori persatuan, dan individu serta dua anugerah khas iaitu Anugerah Khas ABFM: Majlis Belia Felda Wilayah Terbaik dan Anugerah Mercu Wangsa.

“Bagi pemenang Anugerah Majlis Belia Felda Wilayah Terbaik dan Anugerah Mercu Wangsa, masing-masing bakal membawa pulang wang tunai sebanyak RM4,000 beserta piala iringan dan sijil penghargaan,” katanya.

Beliau berkata himpunan akan turut dimeriahkan dengan pengisian program seperti pertandingan futsal dan bola jaring, pertunjukan aktiviti lasak, konvoi Rehlah Mahabbah serta Siri Bengkel Khalifah mewakili setiap wilayah Felda.

PKR Patut Haramkan Diri Mereka Pertikai SPR

Posted: 10 Jun 2014 04:41 AM PDT

KUALA LUMPUR, 10 Jun – Ketua Penerangan Pemuda UMNO negeri Pahang, Mohd Farid Mohd Noor menyifatkan pembangkang terutama PKR sepatutnya mengharamkan diri mereka dari mempersoalkan isu ketelusan, keadilan dan kecekapan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam menguruskan pilihanraya di negara ini.

Ini kerana jelas beliau pemilihan di peringkat parti sendiri pun mereka ternyata gagal menguruskannya apabila terpalit dengan pelbagai kerja kotor seperti penipuan undi, rasuah dan budaya samseng.

“Berbanding SPR yang menguruskan lebih 10 juta pengundi, pemilihan dalam parti pembangkang terutama PKR hanyalah membabitkan beberapa ribu pengundi sahaja namun keadaannya cukup memalukan.

“Selama ini apa jua tuduhan mereka terhadap SPR tanpa bukti yang cukup konkrit tetapi dalam pemilihan PKR pula bukti cukup banyak namun sehingga kini mereka gagal menyelasaikan kemelut pemilihan tersebut”, katanya kepada UMNO-Online di sini.

Justeru beliau yang juga  Ketua Pemuda UMNO Bahagian Lipis seterusnya berkata kepada ahli dan pihak yang didakwa teraniaya akibat sistem pemilihan PKR tersebut sepatutnya menganjurkan kempen-kempen seperti Bersih dan Blackout ini bagi memastikan pemilihan parti mereka bersih dari sebarang unsur penyelewengan seperti  dicemari unsur rasuah, tipu undi dan sebagainya.

“Lebih memalukan banyak dakwaan calon-calon yang bertanding bahawa Jawatankuasa Pemilihan parti PKR yang condong untuk memenangkan kelompok-kelompok tertentu serta tidak cekap menyelasaikan masalah yang berlaku.

“Dakwaan-dakwaan ini  dibuat oleh ahli dan pemimpin mereka sendiri bukan tuduhan dari pihak luar. Cukup-cukuplah memfitnah SPR… perbaiki kelemahan diri dahulu”, ujarnya. -MediaUMNO

90 Peratus Peserta Projek Azam Tani Terengganu Terkeluar Garis Kemiskinan

Posted: 10 Jun 2014 04:10 AM PDT

BESUT, 10 Jun – Kira-kira 90 peratus daripada 207 penduduk miskin di Terengganu yang menyertai Projek Azam Tani kelolaan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) berjaya meningkatkan taraf hidup dan terkeluar daripada paras kemiskinan.

Pengarah Mardi Terengganu Hassan Said berkata mereka yang terlibat menyertai projek itu terdiri daripada keluarga miskin di Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Kemaman, Marang, Hulu Terengganu dan Dungun.

Katanya, antara projek diusahakan mereka adalah projek itik telur, itik pedaging, pemprosesan makanan, perniagaan kecil berasaskan pertanian, jahitan, perkhidmatan pertanian, peniagaan alat nelayan dan membuka bengkel motosikal.

“Kemajuan yang ditunjukkan oleh sesetengah peserta kita amat memberangsangkan kerana bukan sahaja mereka dapat meningkatkan pendapatan bulanan malah ada antara mereka mampu menjana pendapatan sehingga RM10,000 sebulan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penutupan Kursus Peserta Azam Tani Daerah Besut oleh Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kawasan Jabi, Mohd Iskandar Jaafar di Tanjong Demong di sini hari ini.

Menurut Hassan, projek Azam Tani itu dimulakan pada tahun 2010 dan menunjukkan hasilnya dua tahun kemudian.

Katanya, projek sama sedang dilaksanakan di daerah Besut dan Setiu membabitkan 100 keluarga dan hasilnya dijangka dapat dilihat pada tahun hadapan.

Mereka dibimbing pegawai Mardi melalui kursus yang dianjurkan dari semasa ke semasa, katanya.

Dalam majlis hari ini, seramai 37 peserta dibekalkan dengan pelbagai peralatan oleh Mardi seperti motosikal roda tiga, mesin jahit dan ketuhar bagi menjayakan perusahaan mereka.

Biar MAS ‘Terbang Sendiri’ – PAC

Posted: 10 Jun 2014 03:48 AM PDT

KUALA LUMPUR, 10 Jun – Kerajaan hari ini disaran menimbangkan sama ada perlu terus membantu Malaysia Airlines (MAS) untuk beroperasi atau membiarkan syarikat penerbangan negara itu ‘terbang dengan sendiri’.

Namun, Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Datuk Nur Jazlan Mohamed berpendapat tidak perlu bagi kerajaan terus membelanjakan wang rakyat bagi ‘menghidupkan’ MAS tanpa mendapat hasil pulangan yang positif dan berkekalan.

“Sekarang ini sudah berapa tahun kita support MAS, walaupun MAS adalah syarikat yang disenaraikan (di Bursa Malaysia) dan tiada duit kerajaan yang digunakan, tapi pelabur utamanya adalah Khazanah dan Khazanah itu wang pokoknya datang daripada kerajaan juga,” katanya.

Nur Jazlan mengulas perancangan Khazanah Nasional Bhd untuk mengemukakan pelan menyelamatkan MAS dalam tempoh setahun.

Rancangan itu diumumkan Pengarah Urusannya Tan Sri Azman Mokhtar hari ini.

Khazanah Nasional merupakan syarikat pemegangan pelaburan milik kerajaan dan ia memiliki saham terbesar dalam MAS.

“Saya sudah cakap dulu, MAS ini dilindungi oleh Dasar Penerbangan Negara, sebab itu kerajaan boleh menyalurkan dana kepada syarikat ini kerana ia menepati dasar kerajaan.

“Tapi sekarang ini bila ada Dasar Langit Terbuka dan ada syarikat penerbangan tambang murah, dasar kerajaan itu (Dasar Penerbangan Negara) sudah tidak sesuai…” kata Nur Jazlan kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat PAC di Bangunan Parlimen, di sini.

Beliau yang juga Anggota Parlimen Pulai bagaimanapun berharap, perancangan atau penstrukturan semula yang hendak diperkenalkan Khazanah Nasional kali ini akan berjaya mencari penyelesaian positif dan menghidupkan kembali MAS.

Pada pertengahan bulan lalu, MAS mengumumkan kerugian sebanyak RM443 juta untuk suku pertama berakhir 31 Mac 2014, meningkat dari RM279 juta dalam suku sama tahun lalu.

Hudud : Keputusan Jawatankuasa Teknikal Pusat Bebas Pengaruh Parti Politik

Posted: 10 Jun 2014 03:01 AM PDT

KOTA BAHARU, 10 Jun – Jawatankuasa Teknikal Peringkat Pusat yang diwujudkan untuk mengkaji pelaksanaan hukum hudud atau Enakmen Jenayah Syariah II 1993 di Kelantan, akan membuat keputusan yang lebih sah dan bebas daripada pengaruh parti politik, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Beliau berkata jawatankuasa itu memang tidak dianggotai orang politik dan ia berpegang kepada peraturan dan pelaksanaan hukum hudud.

“Jawatankuasa tersebut telah pun wujud dan akan melaksanakan tugas secara tangungjawab dalam lingkungan mereka. Orang (anggota jawatankuasa) itu faham undang-undang dan arah mana undang-undang itu hendak dibawa,” katanya selepas majlis perasmian Multaqa (pertemuan) Imam, Guru Takmir (agama) dan Jawatankuasa Masjid Mukim negeri Kelantan 2014 di Kompleks Islam Darulnaim, Lundang di sini hari ini.

Majlis itu dirasmikan oleh Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob dan turut dihadiri Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Othman Mustapha.

Jamil Khir berkata antara tanggungjawab jawatankuasa itu ialah member pandangan arah tuju berkaitan rang undang-undang persendirian (hukum  hudud) sebelum kerajaan negeri Kelantan membentangkannya di Parlimen kelak.

“Jawatankuasa ini juga akan memandu kita apakah perkara yang perlu diberi penambahan dan pindaan,” katanya sambil menyatakan tiada tempoh diberikan kepada jawatankuasa itu untuk menyelesaikan tugas mereka.

Kerajaan pusat menubuhkan jawatankuasa itu setelah Pas mahu membentangkan Rang Undang-undang Persendirian (Hukum  Hudud) di Parlimen bagi mendapatkan kebenaran melaksanakan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993.

Pembentangan rang undang-undang persendirian itu bertujuan mendapatkan kebenaran melaksanakan hukum hudud itu seperti yang diperuntukkan Perkara 76 (A) Perlembagaan Persekutuan.

Terdahulu semasa berucap pada majlis berkenaan, Jamil Khir mengumumkan pada tahun ini, kerajaan pusat melalui Jakim memperuntuk sebanyak RM68.52 juta  kepada kerajaan negeri Kelantan untuk membayar elaun 840 imam, 267 guru takmir, 5,306 guru Kelas Al Quran dan Fardu Ain (Kafa), 10 pegawai penyelaras masjid jajahan negeri ini.

Katanya Imam harus memainkan peranan yang lebih aktif untuk mengimarahkan masjid masing-masing dengan pelbagai program bagi memartabatkan syiar dan syariat Islam.

Masyarakat Hilang Kepercayaan Jika Guru Salah Guna Laman Sosial – KP Pelajaran

Posted: 10 Jun 2014 02:53 AM PDT

KUALA LUMPUR, 10 Jun -  Guru yang menyalahguna laman sosial dengan memuatkan unsur berbaur politik boleh menjejaskan kepercayaan masyarakat terhadap kerjaya perguruan.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Khair Mohamad Yusof berkata, amalan tidak sihat itu juga boleh mencemarkan imej profesion perguruan kerana mengetengahkan diri secara berpihak menerusi laman sosial itu.

Sehubungan itu, katanya, Kementerian Pendidikan mengingatkan setiap guru supaya bertindak secara profesional, berhati-hati serta berintegriti dalam penggunaan laman sosial untuk  mempertahankan prinsip neutral dan tidak memihak dalam perkhidmatan awam.

“Dalam hal ini, kementerian menerima aduan daripada pihak awam bahawa terdapat di kalangan guru yang menggunakan laman Facebook dengan memuatkan unsur berbaur politik.

"Oleh itu, guru sebagai penjawat awam hendaklah melaksanakan tugas dan tanggung jawab yang diamanahkan untuk memberi perkhidmatan kepada masyarakat dan negara tanpa sebarang unsur menyebelahi kepada mana-mana pihak," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan, Selasa.

Kementerian Pendidikan maklum akan penggunaan secara meluas media sosial seperti Facebook, Twitter, WhatsApp dan seumpamanya yang kini menjadi suatu kemudahan penting di kalangan rakyat Malaysia termasuk golongan pendidik.

Khair berkata, penggunaan kemudahan berkenaan digalakkan selagi ia tidak mendatangkan kemudaratan kepada masyarakat dan negara, termasuk profesion perguruan, integriti perkhidmatan awam dan kerajaan.

Sebanyak 785 Projek Tidak Lulus Kerana Krisis Bekalan Air

Posted: 10 Jun 2014 02:43 AM PDT

KUALA LUMPUR, 10 Jun – Sebanyak 785 projek pembangunan yang dikemukakan kepada kerajaan gagal untuk mendapat kelulusan berikutan krisis bekalan air yang berlaku di Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya pada Februari hingga Mac lepas.

Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata sepanjang tempoh sama juga kerajaan hanya meluluskan 45 projek pembangunan.

“Sewaktu catuan air dijalankan, syarikat yang guna bekalan air yang banyak jumpa kementerian minta bantuan…orang luar juga tidak berani datang melabur kerana bimbang salah satu komponen keperluan asas ini (air) tidak mencukupi

“Sekiranya masalah bekalan air ini tidak diatasi ia bukan sahaja menjejaskan pengguna domestik malah akan merugikan negara,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid (BN-Kota Tinggi) pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Noor Ehsanuddin mahu tahu tentang kesan krisis bekalan air yang melanda Lembah Klang baru-baru ini.

Terdahulu ketika menjawab soalan asal Datuk Johari Andul Ghani (BN-Titiwangsa) berhubung perkembangan terkini pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2,  Mahdzir berkata pihak kontraktor telah memulakan kerja-kerja awal projek membabitkan aktiviti ukur tanah dan penandaan sempadan sementara menunggu kelulusan lain daripada kerajaan negeri Selangor.

“Kementerian dan kerajaan negeri juga sedang dalam peringkat akhir untuk memasuki perjanjian antara kedua-dua pihak bagi memperincikan tindakan yang perlu diambil bagi melaksanakan memorandum persefahaman yang telah ditandatangani pada 26 Februari lepas,” katanya.

20,434 Penjawat Awam Dikenakan Tindakan Tatatertib Sejak 2009

Posted: 10 Jun 2014 02:10 AM PDT

KUALA LUMPUR, 10 Jun – Sebanyak 20,434 penjawat awam dikenakan tindakan tatatertib dalam tempoh lima tahun sejak 2009, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim berkata daripada jumlah itu 4,743 dibuang kerja, 125 diturunkan pangkat dan tidak akan dipertimbang kenaikan pangkat untuk tempoh 48 bulan, 963 lagi diturunkan gaji serta tidak akan dipertimbang kenaikan pangkat selama 36 bulan.

Sebanyak 2,048 orang pula ditangguhkan pergerakan gaji dan tidak akan dipertimbangkan kenaikan pangkat bagi tempoh 30 bulan manakala 3,491 lagi dilucutkan hak emolumen serta tidak akan dipertimbang kenaikan pangkat bagi tempoh 24 bulan.

“Sebanyak 3,373 orang dikenakan denda maksimum tujuh hari emolumen dan tidak akan dipertimbangkan kenaikan pangkat bagi tempoh 18 bulan serta 10,531 diberi amaran dan tidak akan dipertimbangkan kenaikan pangkat bagi tempoh 12 bulan,” katanya menjawab soalan Datuk Johari Abdul (PKR-Sungai Petani).

Shahidan berkata jumlah itu turut mengambil kira mereka yang dikenakan lebih daripada satu hukuman.

Menjawab soalan tambahan Datuk Wan Khairil Anuar Wan Ahmad (BN-Kuala Kangsar), beliau berkata setakat ini, tiada kes tindakan tatatertib dikenakan kepada mana-mana penjawat awam yang tidak menunjukkan taat setia kepada kerajaan semasa.

Wan Khairil ingin tahu sama ada kerajaan akan melihat semula cadangan dan terma pelantikan baharu seperti yang diamalkan oleh sektor swasta iaitu “hire and fire” dan “reward and punishment” untuk menaikkan kualiti penjawat awam.

“Amaran, denda, turun gaji, turun pangkat dan buang kerja buat masa ini mencukupi sebagai tindakan tatatertib.

“Di samping, penubuhan unit integriti di agensi awam akan terus memantapkan tahap integriti bagi menentukan penjawat awam menjunjung dan menegakkan prinsip integriti serta akauntabiliti ke arah mencapai sistem penyampaina awam yang lebih cemerlang,” kata Shahidan.

GST : Customs Targets To Register 5,000 Traders This Year

Posted: 10 Jun 2014 02:07 AM PDT

KOTA BAHARU, June 10 – The Customs Department (JKDM) targets to register 5,000 traders for the Goods and Services Tax (GST) this year.

Its director-general Datuk Seri Khazali Ahmad said 420 traders had voluntarily registered with the department and had declared carrying out commerce with annual sales of RM500,000 each a year.

“We encourage them to register earlier to avoid difficulties at the last minute.

“It is mandatory for traders to register by January 2015. Those who fail to register before the implementation of GST on April 1 will be penalised under the law,” he told reporters after officially opening the Kelantan Customs Office building in Jalan Sultan here, today.

The RM5-million three-storey building became operational in 2012.

GST tax at the rate of six percent will replace the existing Sales and Services Tax with overall rate of 16 percent, and it is a move to restructure the national taxation structure.

Pas Dalam Pakatan Pembangkang Umpama Kisah Lebai Malang

Posted: 10 Jun 2014 01:34 AM PDT

KUALA LUMPUR, 10 Jun – Tindakan DAP yang menyalahkan Pas dan menyifatkan isu hudud parti tersebut merupakan punca kekalahan calon DAP di Teluk Intan jelas memperlihatkan nasib Pas di dalam pakatan pembangkang tidak ubah seperti kisah Lebai Malang, demikian menurut Ahli Parlimen Pendang, Datuk Wira Othman Abdul.

Menurut beliau, ini berdasarkan sikap kepimpinan Pas yang masih tunduk dan tetap bekerjasama dengan DAP atas alasan tahaluf siyasi walaupun pemimpin DAP seringkali dilihat mengkritik dan menghentam kepimpinan Pas terutamanya dalam soal isu perlaksanaan hudud di negara ini.

"Bagi saya, Pas sepatutnya sudah keluar dari pakatan pembangkang. Di Teluk Intan, saya lihat presiden Pas sendiri turun membantu kempen calon DAP, alih-alih bila kalah senang-senang saja kepimpinan DAP menyalahkan parti tersebut sebagai punca kekalahan calon mereka.

"Bagi saya ini sesuatu yang memalukan. Sebabnya DAP menjadikan Pas sebagai alasan mereka kalah dalam PRK di Teluk Intan. Sebab itu saya katakan, Pas sepatutnya mempertimbangkan kedudukan mereka di dalam pakatan pembangkang.Pas dituduh secara langsung oleh pemimpin DAP sebagai punca kekalahan di Teluk Intan.

"Pas juga sepatutnya merasa malu dengan keadaan ini apabila parti tersebut dituduh tidak membantu kemenangan DAP di Teluk Intan. Mereka dimalukan, dipersalahkan oleh DAP tetapi sehingga hari ini masih lagi tidak mahu berpisah dengan DAP.  Mereka seumpama Lebai Malang di dalam pakatan pembangkang, " kata beliau kepada UMNO-Online di sini hari ini.

Jelasnya lagi, adalah lebih baik pemimpin Pas hari ini menimbang semula kedudukan mereka di dalam pakatan pembangkang.

"Saya rasakan inilah masa yang terbaik buat pimpinan Pas menilai dan mengkaji semula kedudukan mereka di dalam pakatan pembangkang, khususnya kerjasama mereka bersama DAP. Sudah jelas, kepimpinan DAP tidak pernah mahu menjaga hati kepimpinan, ahli dan penyokong Pas.

"Sudah banyak kali pemimpin Pas ditegur dan dikritik pedas oleh kepimpinan DAP terutamanya berhubung soal perlaksanaan undang-undang Islam, namun Pas masih tetap mahu bersama-sama mereka lagi. Sepatutnya bagi saya, Pas sudah lama umum keluar dari pakatan pembangkang bagi mempertahankan maruah mereka yang dimalukan oleh Dap selama ini," ujarnya.-MediaUMNO

-------------------------------------------------------------------------------

Jom berjuang bersama rakan bloggers di Facebook!

Tunjukkan sokongan anda! Sila Like.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...