UMNO Online - “Segenap Lapisan Masyarakat Sokong Pelbagai Program Transformasi Perdana Menteri” plus 9 more

UMNO Online - “Segenap Lapisan Masyarakat Sokong Pelbagai Program Transformasi Perdana Menteri” plus 9 more

Link to UMNO Online

Segenap Lapisan Masyarakat Sokong Pelbagai Program Transformasi Perdana Menteri

Posted: 12 Jul 2012 03:55 AM PDT

KOTA KINABALU, 12 Julai – Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman berkeyakinan segenap lapisan rakyat akan memberi sokongan padu terhadap pelbagai inisiatif dan program transformasi yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri termasuk usaha menjadikan Malaysia sebagai model negara Islam yang maju.

Beliau berkata ini kerana niat kerajaan adalah murni iaitu membina sebuah bangsa Malaysia yang bersatu padu dan maju.

Bagaimanapun, Musa berkata sejak kebelakangan ini, kerap kali dasar, konsep dan pendirian serta pendekatan kerajaan disalahtafsirkan dan dieksploitasi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab atas kepentingan tertentu sehingga menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

“Dalam konteks ini, gambaran yan tepat dan maklumat yang lengkap amat penting bagi memastikan niat murni kerajaan dapat difahami, dihayati serta mendapat sokongan padu segenap lapisan rakyat,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutupan Seminar Wasatiyyah dan 1Malaysia di Wisma MUIS, dekat sini hari ini.

Musa turut mengajak rakyat supaya sentiasa menghargai dan mensyukuri nikmat kemerdekaan, keamanan dan kemakmuran yang dinikmati sekarang.

“Asas yang dibina oleh para pemimpin negara terdahulu dan kerajaan kita pada hari ini perlulah kita pelihara dan pertahankan, yang menjadi tunjang kejayaan negara dan kemakmuran serta keharmonian rakyatnya,” katanya.

Musa berkata pendekatan kesederhanaan bertepatan dengan prinsip Wasatiyyah yang diketengahkan oleh Perdana Menteri dalam beberapa pertemuannya dengan para pemimpin Barat.

“Konsep Wasatiyyah perlu menjadi pegangan kita pada hari ini dengan mengambil jalan syura serta dialog sebagai asas menyelesaikan sebarang masalah dan pertikaian.

“Hakikatnya mengambil pendekatan yang ekstrem berkaitan kekerasan serta keganasan bukanlah jalan penyelesaian yang terbaik, apatah lagi dalam konteks masyarakat majmuk kita,” katanya.

Ketua Menteri berkata beliau yakin prinsip wasatiyyah yang menjadi pegangan kepimpinan negara sangat bertepatan dengan gagasan 1Malaysia bagi melahirkan masyarakat yang bersatu padu dan bersikap sederhana berteraskan Perlembagaan Persekutuan dan semangat Rukun Negara.

Isu Talam : Lantik Firma Audit dan Akuantan, Hanya Helah Bila Sudah Terlondeh

Posted: 12 Jul 2012 03:49 AM PDT

KUALA LUMPUR 12 Julai – Keputusan kerajaan negeri untuk melantik sebuah firma audit dan akauantan bagi mengkaji proses perlaksanaan kutipan hutang  Talam Corporations menimbulkan persoalan.

Exco Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Soohaimi Shahadan berkata mengapa selepas isu berkenanan didedahkan kepada umum, secara tiba-tiba kerajaan negeri ingin melantik firma audit dan akauntan sedangkan perkara itu sepatutnya perkara itu dilakukan dari peringkat awal bukannya selepas diketahui umum.

“Mengapa sekarang baru nak panggil juru audit dan akauantan, mengapa tidak dibuat ketika urusan itu dilaksanakan, '’dah tergantuk baru nak tergadah’', apakah itu semua sekadar hendak mengaburi mata rakyat mengenai perkara itu.

"Dulu cerita nak bentang kertas putih mengenai isu ini, tetapi sehingga kini tiada pun kertas putih yang dibentangkan, kini nak lantik firma audit dan akuantan pula, apakah yang sebenarnya berlaku, jika perkara ini tidak didedahkan sudah pasti semuanya itu akan berlalu begitu sahaja," katanya kepada UMNO-Online di sini.

Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Selayang mengesa Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim berterus terang dan bukannya berdolak dalik dengan pelbagai alasan termasuk untuk firma audit dan akuantan.

“Mengapa sukar sangat Menteri Besar untuk menjelaskan perkara ini, apakah ada cerita tersembunyi sehingga kini mereka tidak mampu memberi jawapan yang jelas, sebaliknya berdolak-dalik dengan pelbagai cerita.

“Kalau dulu mereka kata mereka akan mentadbir secara telus dan tidak akan melindungi apa-apa jua perkara yang berlaku, tetapi mengapa kini banyak sangat alasan yang diberi, ia bukan sahaja membabitkan isu Talam sahaja, malah isu lain seperti masalah pasir juga sehingga kini tiada suatu jawapan konkrit yang diambil terhadap perkara itu," katanya.

Beliau menggesa kerajaan negeri supaya berani tampil memperjelaskan isu berkenaan dan bukannya membiarkan ia berlanjutan dengan pelbagai jawapan yang berbelit-belit, rakyat Selangor hanya ingin jawapan yang benar mengenainya. -MediaUMNO

‘Jaya Negara’ : Manifestasi Politik Kebencian Anjuran Pakatan Pembangkang

Posted: 12 Jul 2012 03:45 AM PDT

Pakatan Rakyat, yang sering digelar Pakatan haram ini memang diketahui seringkali menganjurkan tema kebencian untuk menghasut rakyat Malaysia membenci UMNO, BN dan pemimpin-pemimpinnya.

Toksah nak mengelak, memang ini kesnya.

Oleh yang demikian, tidak hairanlah kalau di laman media sosial pro Pakatan haram ini seperti Facebook umpamanya, ayat-ayat yang digunakan sebagai tajuk 'group' pakat-pakat ini banyak yang berbunyi seperti "Benci", "Hancur", "Musnah" dan seumpamanya untuk menggambarkan penentangan mereka terhadap UMNO.

Semua ini memang menjurus kepada politik kebencian menebal yang cuba dipupuk dikalangan generasi muda.

Malah kalau kita lihat dalam rusuhan Bersih 3.0 yang lepas, inilah pun pendekatan yang dipilih, merusuh dan mengganas.  Semua ini apa lagi kalau bukan manifestasi kepada benih politik kebencian yang mula rancak disemai sejak Mac 2008.

Di pihak Pas yang konon-kononnya memperjuangkan Islam itu begitu juga.  Semua ahli UMNO dikata akan masuk neraka, yang sokong dia akan masuk syurga.

Adakah orang baik-baik yang masuk neraka itu?  Sudah tentulah orang jahat dan berdosa, pendek kata dia gambarkan orang UMNO ini jahatlah.

Kebencian lagi.

Jadi janganlah hairan dan terkejut bila ada hamba Allah yang konfius dengan semua cacamarba yang dicetuskan Pakatan haram ini, terdorong untuk membawa pedang samurai, buka baju dan mengamuk di Kompleks Jabatan Perdana Menteri.

Menilai dari tulisan dalam blognya juga secara jelas merujuk kepada keadaan jiwa yang kacau dan tidak tenteram.

Paling kelakar, dia cakap hebat pasal Islam, gambar profil dia sendiri tidak menutup aurat (pusat nampak).  Apa pun itu urusan antara dia dan Allah swt sekarang.

Kalau boleh penulis ringkaskan dari kejadian yang berlaku di JPM kelmarin:-

1. Alasan mengamuk, kerajaan ini tidak Islamik kerana tidak melaksanakan perundangan Islam (hudud), adalah sinonim dengan perjuangan Pas.

2. Semua orang salah dia saja betul, sinonim dengan kaedah DAP.

3. Buat bini orang macam bini sendiri, sinonim dengan PKR, dan Pas (kalau boleh disebutkan).

mykmu.net

UMNO Perlu Bersatu Untuk Menang PRU13 – Muhyiddin

Posted: 12 Jul 2012 03:20 AM PDT

TAIPING, 12 Julai –  Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan semua anggota dan pemimpin UMNO supaya memperkukuhkan perpaduan sekiranya mahu melihat Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 akan datang.

Timbalan Perdana Menteri berkata perpaduan adalah prasyarat utama untuk kemenangan BN, dan oleh itu semua pemimpin harus bersatu dan memperkukuhkan jentera parti bagi menghadapi pilihan raya.

“Saya mahukan BN Perak di bawah pimpinan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir (Menteri Besar Perak) supaya terus memperkukuhkan jentera pilihan raya dan selalu turun ke bawah bagi mengukuhkan kembali kepercayaan rakyat kepada BN,” katanya pada majlis pecah tanah Bangunan UMNO Bahagian Taiping di sini, Khamis.

Bangunan tiga tingkat yang berharga RM1 juta itu dijangka siap dalam tempoh setahun.

Muhyiddin berkata BN Perak harus memastikan parti terus kuat dan menebus semula kekalahan sebelumnya serta mencapai kemenangan yang lebih baik.

Beliau berkata menjadi pemimpin UMNO dan BN sekarang bukanlah tanggungjawab yang ringan kerana zaman telah berubah dan banyak pihak membuat pelbagai tuntutan.

“Tanggungjawab sebagai pemimpin sangat mencabar, namun apa yang penting kita telah mula lakukan perubahan dan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) telah pun memulakan proses transformasi ekonomi dan politik,” katanya.

Muhyiddin menegaskan bahawa keyakinan dan kepercayaan rakyat terhadap BN haruslah dikekalkan bagi menjamin kemenangan parti pada masa-masa akan datang.

Turut hadir pada upacara pecah tanah itu ialah Dr Zambry dan Ketua UMNO Bahagian Taiping Datuk Ahmad Shalimin Ahmad Shafie.

Pendekatan Politik Kebencian Tidak Berfaedah, Undang Bencana Negara

Posted: 12 Jul 2012 03:13 AM PDT

KUALA LUMPUR 12 Julai – Semua pihak diingatkan agar tidak menyuburkan politik kebencian sebaliknya perlu mengadaptasikan politik matang dalam usaha mengekalkan keamanan dan keharmonian negara serta sistem demokrasi negara.

Pengerusi Biro Agama Pemuda UMNO,  Ustaz Hj Mohd Afandi Yusof berkata politik kebencian sebenarnya tidak membawa apa-apa faedah serta manfaat bukan sahaja kepada rakyat malah kepada negara itu sendiri.

Tegas beliau apa yang penting hari ini semua pihak perlu berkisar kepada politik matang dan jangan sesekali cuba meniupkan api kebencian melampau kerana dikhuati boleh menjejaskan apa yang dinikmati hari ini.

"Saya tidak tujukan perkara ini kepada mana-mana pihak cumanya sekadar satu peringatan yang tulus ikhlas supaya politik kebencian tidak subur dan tidak melata di negara kita kerana kesannya cukup hebat.

"Apa makna kepada politik kebencian jika negara dan rakyat tidak mendapat apa-apa manfaat. Jadilah penyumbang kepada politik matang kerana ianya membawa manfaat kepada negara dan seluruh rakyat," katanya.

Ustaz Afandi yang juga Ketua Pemuda UMNO Rantau Panjang seterusnya menambah sistem Demokrasi Berparlimen yang wujud dan subur di negara kita hari ini perlu dipertahakan sebaik mungkin.

Ujar beliau sistem yang ada itu cukup baik dan telah banyak berjasa kepada negara dan rakyat khususnya.

"Apakah kita mahu melihat negara yang kita cintai ini berada dalam keadaan kacau bilau dan sesiapa yang tidak puas hati dan sebagainya terhadap mana-mana pihak boleh melakukan sewenag-wenangnya.

"Doktrinisasi ke arah kebencian cukup merbahaya…Jadi kepada mana-mana pihak janganlah sesekali cuba menyuburkan politik kebencian itu sebaliknya kita sama-sama berganding bahu mempertahakan sistem yang ada untuk kepentingan ummah dan rakyat secara menyeluruh," katanya.

Tegas beliau jadikanlah khutbah berkenaan sebagai panduan kerana apa yang penting hari ini adalah kepentingan ummah dan apa yang berlaku itu tidak sepatutnya berlaku jika penerapan dan penghayatan kepada Islam yang sebenar. -MediaUMNO

Cerai Gara-Gara Tidak Sokong Pas Bukan Perkara Baru Di Kelantan – Alwi

Posted: 12 Jul 2012 02:56 AM PDT

KOTA BAHARU 12 Julai – Nasib yang menimpa seorang guru agama di Pasir Mas, Kelantan Che Hasnah Che Ahmad, 61, bukanlah perkara baru sebaliknya banyak lagi kes-kes lain seumpama itu berlaku.

Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Datuk Hj Alwi Che Mat berkata isu-isu seumpama itu telah kerapkali didengar bukan sahaja hari ini malah sebelum ini lagi.

Cuma ujar beliau perkara berkenaan tidak didedahkan kepada umum dan tidak hairan isu perceraian akibat perbezaan ideologi politik berlaku di negeri yang dipanggil Serambi Mekah itu.

"Sebelum saya pergi lebih jauh ingatlah tiap kali berlaku perceraian bergegar 'tiang arasy'……..Ini hanyalah sebahagian daripada kesan sikap taksub yang dibawa oleh pemimpin Pas. Tetapi bukanlah semua pemimpin mereka bersikap sedemikian. Sebahagian sahaja.

"Apabila dianggap Pas itu Islam inilah musibahnya. Perlu diingat Pas itu Islam dan Islam itu Pas adalah salah sama sekali dan ianya adalah satu kesalahan yang cukup besar. Sesungguhnya Islam itu bukanlah Pas.

"Pandangan sebegini jauh menyimpang dan banyak benda yang Pas ajar tidak sama dengan Islam. Inilah yang saya katakan tadi dan sekali lagi saya tegaskan bukanlah semua tetapi sebahagian," katanya.

Beliau berkata demikian kepada UMNO-Online sebagai mengulas nasib yang menimpa Che Hasnah Che Ahmad, 61, seorang guru agama di Kampung Chabang Tiga, Chetok, Pasir Mas, apabila suaminya, Yahaya Ibrahim, 78, menganggapnya sebagai sesat kerana tidak menyokong Pas dan menceraikannya dengan talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Pasir Mas di sini hari ini.

Alwi seterusnya mengingatkan semua pihak agar menghayati khutabh terakhir Rasulullah s.a.w. yang antara lain menyeru ke arah perpaduan dan tidak menjual agama serta sebagainya lagi untuk renungan bersama.

Tegas beliau jadikanlah khutbah berkenaan sebagai panduan kerana apa yang penting hari ini adalah kepentingan ummah dan apa yang berlaku itu tidak sepatutnya berlaku jika penerapan dan penghayatan kepada Islam yang sebenar. -MediaUMNO

Siapa Akan Isi Baki 30 Kerusi Pakatan Pembangkang?

Posted: 12 Jul 2012 02:39 AM PDT

Salam Pengarang,

Kekalutan pembahagian kerusi yang akan ditandingi oleh pakatan pembangkang dalam PRU 13 hingga ke hari ini seakan belum menemui titik noktahnya lagi.

Dalam perkembangan terbaru, Lim Guan Eng selaku Setiausaha Agung DAP mendakwa partinya hanya akan bertanding di sekitar 60 kerusi parlimen sahaja, kurang 30 berbanding jumlah pembahagian yang didedahkan kepada umum sebelum ini.

Rekod PRU 2008 menunjukkan DAP telah bertanding di 47 kerusi dan menang 28 daripadanya dengan majoriti selesa.

Sekiranya angka 60 seperti yang disebut oleh Lim Guan Eng adalah angka ‘muktamad’, ini bermakna wujudnya peningkatan sebanyak 13 kerusi baru diperuntukkan kepada DAP yang berkemungkinan besar diambil alih dari kuota PKR.

Walaupun kita sedar angkat tersebut masih jauh dari angka sebenar, namun setidak-tidaknya Lim Guan Eng telah mengesahkan DAP semakin menonjolkan dirinya sebagai abang besar yang mampu menentukan corak haluan pakatan pembangkang.

Dalam pada itu, timbul satu dua persoalan bila DAP mengatakan hanya akan bertanding tidak lebih 60 kawasan parlimen, kepada siapa pula baki 30 kerusi tersebut akan diberikan?

Mungkinkah parti-parti lain misalnya SAPP, KITA atau PSM akan diberi tanggungjawab memikul cabaran di baki 30 kerusi tersebut untuk berentap dengan BN?

Jika segala persoalan di atas sukar untuk dijawab oleh pembangkang, nyatalah gembar gembur dakwaan Anwar Ibrahim kononnya proses pembahagian kerusi sesama pembangkang telah lama selesai hanyalah mimpi di siang hari.

Pemerhati Politik Selangor

Wanita Shah Alam Hanya Tunggu ‘Semboyan’ Dibunyikan

Posted: 12 Jul 2012 02:32 AM PDT

SHAH ALAM, 12 Julai – Walaupun tempoh pendaftaran pengundi baru telah tamat sekiranya Pilihan Raya Umum (PRU) akan diadakan pada tahun ini namun ini tidak bermakna gerak kerja menghadapi PRU juga terhenti malah ianya semakin rancak dilakukan.

Menurut Ketua Wanita UMNO Bahagian Shah Alam, Radziah Ahmad, Wanita terus bergerak aktif bagi memastikan segala urusan membabitkan pengundi berjalan lancar semasa PRU nanti.

"Kita sudah sampai peringkat mengenalpasti siapa jaga siapa. Fokus kita adalah kepada kategori kelabu dan juga yang berpindah. Ini kerana kita harus memastikan mereka ini keluar mengundi kelak. Walaupun menghadapi masalah untuk mengesan mereka yang telah berpindah kerana pergerakan pengundi di Shah Alam memang meluas namun itu bukan halangan untuk Wanita terus mengesan mereka.

"Kita masih mempunyai masa untuk mengenalpasti di mana para pengundi ini. Apa yang pasti, kami harus memastikan mereka ini akan keluar mengundi. Undi mereka amat penting. Wanita akan terus memainkan peranan menjadi tulang belakang parti memastikan BN terus menjadi pilihan rakyat untuk menerajui pucuk pimpinan negara," jelasnya kepada UMNO-Online.

Tambah Radziah, Wanita memang telah bersedia dari segi mental dan fizikal untuk terus meyumbang tenaga membantu parti.

Kini apa yang dinantikan tegas beliau adalah semboyan yang bakal dibunyikan oleh Perdana Menteri menandakan 'masa berjuang' telah tiba.

"Kita memang telah bersedia. Tugas Wanita di Shah Alam amat berat kerana pada PRU yang lalu kita kalah di semua kerusi iaitu di Parlimen dan juga Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Anggerik dan Batu Tiga. Sasaran kita adalah merampas semua kerusi di parlimen Shah Alam agar dapat menyumbang kepada kemenangan BN nanti.

"Kita hendak mencapai kemenangan dua pertiga majoriti. Sebab itulah Wanita di Shah Alam tidak duduk diam sejak awal lagi. Setakat ini saya selaku Ketua Wanita Shah Alam berpuas hati dengan gerak kerja yang telah dijalankan. Kita akan terus giat bergerak agar hasrat parti dapat direalisasikan.

"Kita yakin BN mampu menang di Parlimen Shah Alam. Rakyat telah kembali menyokong kita. Apa yang terjadi pada tahun 2008 telah banyak memberi pengajaran kepada kita dan kita tidak lagi alpa. Sebab itu kita Wanita tidak membiarkan masa berlalu tanpa dimanfaatkan dengan baik," tambahnya lagi. – MediaUMNO

Pengerusi, Ahli Suruhanjaya Diraja Pati Akan Diumum

Posted: 12 Jul 2012 02:26 AM PDT

KUALA LUMPUR, 12 Julai – Nama pengerusi dan ahli-ahli yang bakal menganggotai Suruhanjaya Siasatan Diraja berhubung masalah pendatang tanpa izin di Sabah akan diumum tidak lama lagi, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong.

“Pada masa sekarang, kerajaan hanya menunggu masa yang sesuai untuk membuat pengumuman kerana hanya Yang di-Pertuan Agong boleh membuat lantikan itu,” katanya ketika menjawab soalan Senator Datuk Paul Kong Sing Chu mengenai perkara itu pada persidangan Dewan Negara pada Khamis.

Awal Jun lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa Kabinet bersetuju menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menangani masalah berkaitan pendatang tanpa izin di Sabah.

Liew berkata anggota surunhajaya itu akan dipilih di kalangan mereka yang berpengalaman luas dan mempunyai kefahaman mendalam berhubung isu pendatang tanpa izin di Sabah.

Terma rujukan Suruhanjaya Siasatan Diraja itu kini berada di peringkat akhir penggubalan untuk memastikan terma yang ditetapkan itu adalah menyeluruh supaya masalah pendatang tanpa izin di Sabah ini dapat diselesaikan secara komprehensif, katanya.

SPR Rangka Kod Etika Peranan Kerajaan Sementara Sebelum PRU-13

Posted: 12 Jul 2012 02:22 AM PDT

IPOH, 12 Julai –  Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam proses merangka kod etika peranan kerajaan sementara untuk memerintah dan mengurus negara selepas Parlimen dibubar untuk pilihan raya umum ke-13.

Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar berkata SPR telah menubuhkan satu jawatankuasa bagi meneliti perkara itu sebelum ia dirujuk kepada Peguam Negara dan seterusnya dibincangkan dengan kerajaan di bawah pimpinan Barisan Nasional (BN).

“Di bawah perlembagaan kerajaan, apabila Parlimen dibubar kerajaan sekarang ini berhak berperanan sebagai kerajaan sementara kerana tiada negara di dunia ini yang tidak mempunyai kerajaan dalam satu masa.

“Jadi SPR berperanan merangka etika itu kepada siapa (kerajaan) yang memerintah dan ia (etika) perlu dipatuhi. SPR akan merangka secara menyeluruh termasuk mengkaji dokumen di Australia dan United Kingdom untuk dijadikan contoh sebelum berbincang dengan pihak undang-undang (Peguam Negara),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan taklimat persediaan Pilihan Raya Umum ke-13 kepada pasukan Penguatkuasa Kempen Pilihan Raya di sini, Khamis.

Beliau berkata kod etika berkenaan akan memperjelaskan peranan kerajaan sementara dalam memerintah negara selepas Parlimen dibubarkan dan sepanjang tempoh pilihan raya berlangsung.

“Dalam kerajaan sementara sekiranya beliau Perdana Menteri, akan tetap jadi Perdana Menteri, Menteri Pertahanan akan tetap jadi Menteri Pertahanan tapi ada perkara yang tak boleh buat sebagai pemimpin parti kerana yang bertanding dalam pilihan raya adalah parti dan konsep kerajaan sementara itu perlu dihormati.

“Saya tidak boleh jelaskan satu persatu (etika) sebab kita masih di peringkat perbincangan dan kita tak mahu nanti ia bercanggah dengan perlembagaanatau ia menyalahi undang-undang…nanti akan dipertikaikan,” katanya.

Wan Ahmad menjelaskan kod etika itu merupakan satu daripada cadangan daripada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) bagi Penambahbaikan Proses Pilihan Raya.

“Mereka (ahli jawatankuasa itu) keluarkan sebanyak 22 cadangan dan perkara ini merupakan salah satu daripada cadangan itu selain akses kepada media, dakwat kekal, undi pos, awal tempoh kempen.

“Mana yang kita dapat laksanakan kita akan laksanakan dan mana yang perlu kita pinda undang-undang kita akan pinda,” katanya.

-------------------------------------------------------------------------------

Jom berjuang bersama rakan bloggers di Facebook!

Tunjukkan sokongan anda! Sila Like.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...